Monday, January 11, 2010

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia

Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) atau Malaysian Higher School Certificate dalam bahasa Inggeris merupakan peperiksaan prauniversiti yang diduduki oleh pelajar Malaysia. Peperiksaan ini dulu dikenali sebagai Higher School Certificate (HSC).

STPM disediakan oleh Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM) yang juga menyediakan Malaysian University English Test (MUET), berbeza dengan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Penilaian Menengah Rendah (PMR) dan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) yang disediakan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM). Walau bagaimanapun, kedua-dua LPM dan MPM adalah terletak di bawah Kementerian Pelajaran Malaysia.

STPM adalah salah satu daripada dua sistem prauniversiti yang utama untuk kemasukan universiti awam Malaysia. Sistem yang lain pula adalah program matrikulasi yang dianjurkan oleh Kementerian Pelajaran.

STPM diiktiraf oleh banyak universiti di peringkat antarabangsa, terutamanya universiti di negara-negara Komanwel dan juga Amerika syarikat dan Ireland. Kebanyakan universiti menganggap keputusan STPM sama dengan A-level.

Tingkatan enam

Walaupun pendidikan sekolah menengah kebangsaan terdiri daripada 5 tingkatan, "Tingkatan Enam" digunakan untuk menamakan program prauniversiti STPM. Kementerian Pelajaran memilih sekolah menengah yang mempunyai kebolehan untuk menawarkan Tingkatan 6.

Tingkatan 6 bertempoh setahun setengah. Tingkatan 6 itu sendiri dibahagi kepada 2 peringkat; setengah tahun yang pertama dikenali sebagai Tingkatan Enam Bawah dan tahun kedua dikenali sebagai Tingkatan Enam Atas.

Pelajar tingkatan 6 pada kebiasaannya berlainan dengan pelajar di tingkatan yang lebih rendah, seperti memakai uniform yang berbeza dengan pelajar lain, diberi jawatan yang tinggi dalam aktiviti kokurikulum dalam persatuan dan terdapat juga pelajar di sekolah tertentu menghadiri perhimpunan dan mempunyai tempoh rehat yang berlainan dengan sekolah lain.

Kebanyakan pelajar bumiputera ditawarkan ke program matrikulasi.

Mata pelajaran

Calon STPM menduduki maksimum 5 mata pelajaran. Kertas peperiksaan bagi mata pelajaran sains dan matematik seperti Mathematics S, Mathematics T, Further Mathematics T, Computing, Physics, Chemistry, dan Biology ditawarkan dalam dwibahasa, iaitu bahasa Inggeris dan bahasa Melayu sehingga 2007 di mana kertas peperiksaan bagi mata pelajaran tersebut ditawarkan dalam bahasa Inggeris sepenuhnya. Bagi mata pelajaran yang lain, kertas peperiksaan masih disediakan dalam bahasa Melayu atau bahasa masing-masing.

Bagi peperiksaan STPM, pengambilan sebarang kombinasi mata pelajaran adalah dibenarkan, iaitu pengambilan apa-apa mata pelajaran adalah dibenarkan. Walau bagaimanapun, kebanyakan pelajar yang memohon universiti tempatan diwajibkan mengambil Pengajian Am. Kebanyakan sekolah atau kolej menawarkan kombinasi mata pelajaran berdasarkan aliran sains atau kemanusiaan.

Senarai mata pelajaran yang ditawarkan:

  • 900 Pengajian Am
  • 910 Bahasa Melayu
  • 911 Bahasa Cina
  • 912 Bahasa Tamil
  • 913 Bahasa Arab
  • 920 Literature in English
  • 922 Kesusasteraan Melayu
  • 930 Syariah
  • 931 Usuluddin
  • 940 Sejarah
  • 942 Geografi
  • 944 Ekonomi
  • 946 Pengajian Perniagaan
  • 948 Perakaunan
  • 950 Mathematics S
  • 954 Mathematics T
  • 956 Further Mathematics T
  • 958 Computing
  • 960 Physics
  • 962 Chemistry
  • 964 Biology
  • 966 Sains Sukan
  • 970 Seni Visual

Gred

STPM menggunakan sistem Nilai Gred Mata Pelajaran. Terdapat 11 gred, iaitu A, A-, B+, B, B-, C+, C, C-, D+ dan D, dengan F sebagai status Gagal.

Nilai Gred Mata Pelajaran

  • A - 4.00 (Lulus Penuh)
  • A- - 3.67 (Lulus Penuh)
  • B+ - 3.33 (Lulus Penuh)
  • B - 3.00 (Lulus Penuh)
  • B- - 2.67 (Lulus Penuh)
  • C+ - 2.33 (Lulus Penuh)
  • C - 2.00 (Lulus Penuh)
  • C- - 1.67 (Lulus Sebahagian)
  • D+ - 1.33 (Lulus Sebahagian)
  • D - 1.00 (Lulus Sebahagian)
  • F - 0.00 (Gagal)

Gred setiap kertas peperiksaan dinyatakan dalam slip keputusan dan juga sijil.

1 comment:

  1. Artikel yang terbaik! Bagi pelajar yang ingin menduduki Peperiksaan MUET tu, anda boleh see this here pautan ini sebagai panduan untuk mendapatkan maklumat. Penulisan mereka sangat berkualiti. Ia dikendalikan oleh mereka yang profesional dalam bidang penulisan karangan yang tertentu. Harap ia sangat membantu!

    ReplyDelete